Arau: “Sebelum negara menyambut kemerdekaan, kehidupan rakyat ketika itu memang susah, namun kini semuanya sudah berubah dengan perkembangan dan pembangunan pesat,” kata Ong Teoh Joo, 96, seorang warga emas yang petah membaca dan cekap menulis tulisan jawi.
Ong berkata, walaupun terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan disebabkan keadaan ekonomi negara belum berkembang dengan baik, namun kehidupan masyarakat pelbagai kaum ketika itu amat mementingkan aspek perpaduan dan suasana harmoni.
Menurutnya, dia membesar dalam kelompok Melayu, malah satu-satunya orang Tionghua yang memasuki Sekolah Melayu Padang Siding ketika berusia 10 tahun kira-kira 80 tahun lalu.
“Ketika itu saya juga mempelajari tulisan jawi selama tiga tahun, malah sehingga kini masih mampu membaca dan menulis dengan lancar walaupun menghadapi masalah kesihatan,” katanya.
ONG pamer kemahiran menulis tulisan jawi. |
Menurutnya, dia terharu apabila mampu menunjukkan kemahiran menulis jawi kepada orang ramai, namun kini sudah jarang berbuat demikian disebabkan penyakit Parkinson yang dihidapinya.
“Sudah lama saya tidak membaca buku tulisan jawi kerana ia semakin sukar didapati dan tidak dapat ke kedai untuk membelinya disebabkan tidak kuat lagi berjalan ke kedai akibat penyakit Parkinson.
“Namun, jika ada yang masih mahu saya menulis tulisan jawi, saya akan mencubanya namun tidak secantik seperti dulu,” katanya yang dilahirkan di Guar Sanji ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pauh Setia, di sini, baru-baru ini.
Artikel Penuh : http://www2.hmetro.com.my/myMetro/articles/Belajarjawitigatahun/Article/index_html
No comments:
Post a Comment