Pin Ki menulis sesuatu dengan menggunakan tulisan jawi yang dipelajarinya ketika berusia 7 tahun. |
KUALA TERENGGANU - Siapa sangka seorang warga emas berbangsa Cina yang kini menetap di Kampung Banggol Kemang Tiruk, di sini, mampu menulis dan membaca tulisan jawi yang lazimnya dikuasai masyarakat Melayu.
Ong Pin Ki, 75, penduduk asal kampung berkenaan pernah bersekolah di sekolah atap (sekolah rendah) di kampungnya ketika berusia 7 tahun dan mempelajari tulisan jawi ketika itu.
Biarpun telah meninggalkan zaman persekolahan sejak hampir 65 tahun lalu, namun sehingga kini, Pin Ki masih lagi dapat menulis dan membaca tulisan jawi walaupun ada kala nadanya tersekat-sekat.
Lebih memeranjatkan, Pin Ki tidak pandai langsung menulis dalam bahasa Mandarin walaupun dia menggunakan bahasa itu untuk berkomunikasi bersama ahli keluarganya.
“Dulu masa kecil saya sekolah atap di sini, sekolah Melayu memang belajar tulis jawi. Sebelum itu saya tak pernah belajar pun tulis jawi dan ambil masa dua tahun untuk betul-betul pandai tulis.
“Ayah, Ong Siu Tiat pun pandai tulis dan baca jawi juga, balik sekolah dia yang ajar saya. Sebab itu sampai sekarang saya tidak boleh tulis bahasa Mandarin kerana selalu baca Melayu dan jawi saja,” katanya.
Menurut Pin Ki, dia lebih senang membaca surat khabar bahasa Melayu atau jawi berbanding Mandarin, malah sehingga sekarang, dia masih lagi baca surat khabar Melayu.
Datuk kepada 16 cucu itu juga sering kali praktis menulis jawi apabila ada masa lapang di rumahnya, supaya kemahirannya itu tidak hilang dimakan waktu.
Pin Ki mengakui, dalam keluarganya, hanya dia seorang sahaja yang pandai menulis jawi manakala anak-anak dan cucu serta cicitnya tidak mewarisi kemahirannya itu, sebagaimana dia dan mendiang ayahnya.
“Ramai juga masyarakat Tionghua di sini (Kampung Banggol Kemang Tiruk) pandai macam ayah saya.
“Budak-budak sekarang tak macam kita dulu, mereka boleh pilih sekolah sebab sudah banyak (sekolah), tidak macam zaman dulu,” katanya lagi.
Lebih mahir dari Melayu
Sementara itu, Pengerusi Banggol Kemang Tiruk, Mohd Sidek Abdullah berkata, masyarakat Tionghua generasi pertama di kampung berkenaan, memang berkemahiran menulis dan membaca jawi.
“Sekarang sudah ramai yang meninggal, tetapi generasi kedua seperti Pin Ki, masih ada lagi yang menetap di sini dan pandai baca serta tulis jawi, malah ada yang lebih mahir jika dibandingkan orang Melayu sendiri.
“Inilah keunikan di kampung ini kerana hampir 16 rumah keluarga Cina generasi pertama dan kedua Tionghua masih ada serta menetap di sini.. mereka boleh membaca dan menulis jawi,” katanya.
Tambahnya, ada juga dalam kalangan masyarakat Tionghua memeluk Islam dan berkahwin dengan orang tempatan.
“Hubungan kami juga begitu erat, sekiranya ada majlis keraian seperti perkahwinan, kami dijemput untuk memasak kerana mereka begitu menjaga agama kami (Islam) dan tahu yang mana halal atau haram.
“Mereka tidak akan masak sendiri tetapi jemput orang kampung untuk memasak dan kami saling tolong-menolong. Begitu juga pada hari perayaan, kami saling kunjung-mengunjungi,” katanya.
Sidek berkata, keakraban penduduk biarpun berlainan bangsa dan agama, sering mendapat perhatian pihak luar termasuk NGO dan stesen televisyen dalam usaha mengupas keunikan yang ada pada masyarakat di kampung berkenaan, terutamanya golongan Tionghua di situ.
Sumber Rujukan: http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/pin-ki-mahir-tulis-dan-baca-jawi-1.349396
No comments:
Post a Comment