Lukisan yang dihasilkan awal ta­hun ini mengambil masa dua bulan untuk menyiapkannya dan berharga puluhan ribu ringgit itu turut dipamerkan dalam Pemeran Seni 2014, The Art Of Soul di IPG berkenaan baru-baru ini. Pameran itu menarik tumpuan peminat luki­­san meneliti ketekunan dan sen­sitiviti pelukis ini menyusun titik dan garisan sehingga mampu menghasilkan imej.

Kerja tangan dan pengamatan serta ketajaman mindanya terbukti mampu menghasilkan garisan yang berkualiti yakni, garisan yang dapat membentuk imej. Garisan dan titik-titik hitam yang memberi kesan ilusi memberi penegasan kepada objek yang dilukis.
“Banyak jenis pen dakwat yang boleh digunakan untuk menghasilkan lukisan. Bergantung kepada keselesaan pelukis sama ada ingin memilih pen Rapidograph, Rotring dan Faber Castle yang mempunyai mata pen pelbagai saiz,” ujar Zakarai.

Dia lebih gemar menggunakan drawing pen dengan dakwat kalis air mampu menghasilkan kesan warna yang legap. Objek yang dilukis akan lebih jelas dengan latar kertas lukisan yang berwarna putih atau kuning.
Zakarai yang berasal dari Taman Kobena, Pasir Puteh, Kelantan berkata, inspirasi untuk menghasilkan lukisan Sultan Mizan mula berputik apabila dia tertarik dengan karisma Baginda termasuk gemar dengan sukan berkuda yang boleh digambarkan semula dengan paparan lukisan yang menggunakan titik dan garisan.

Beliau berkata, teknik titik lebih dikenali sebagai ‘pointillism’ yang menggunakan pen dakwat basah di mana kesabaran amat diperlukan dalam menghasilkan lukisan jenis ini kerana jika tidak sabar titik yang hasilnya agak kurang baik, jika tersilap langkah ia perlu dimulakan dengan kertas yang baharu kerana dakwat kalis air sememangnya tidak boleh dipadam.

“Pengamatan yang tajam terhadap gambar asal amat penting bagi mengelak berlakunya sebarang kesalahan ketika garisan dan titik-titik yang membentuk objek dan ruang dibuat. Saya anggap Lukisan Rider 9 adalah yang terbaik dan paling lama tempoh untuk disiapkan berbanding hasil lukisan yang lain kerana ia memerlukan ketelitian. Semoga garisan dan titik-titik hitam dari dakwat pena itu mampu menyerlahkan sebuah cerita yang difahami oleh khalayak,” katanya.

Bapa kepada lima anak itu berkata, hampir keseluruhan ruang dinding rumahnya turut dihiasi dengan lukisan yang menggunakan teknik yang sama dan bidang ini sememangnya diminati semua anggota keluarganya yang turut mewarisi kemahiran melukis.

Di antara hasil lukisannya yang turut dipamerkan dalam Pemeran Seni 2014 di IPG berkenaan ialah Cengal, Kinabalu IV, Landing, Esok Belum Pasti, Kuda 1, Berlabuh, Aummm, Kelahiran, Kinabalu I, Kinabalu II, Kuda II, Kinabalu III, Belantara, Bujang Lapuk dan lain-lain.

Nama: 
Zakarai Awang

Usia: 
56 tahun.

Kelulusan akademik:
- Sijil Perguruan Asas Maktab Perguruan Mohd. Khalid Johor Bahru (1978-1979 - Bahasa Melayu dan Pendidikan Seni).
- Sijil Perguruan Khas Maktab Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur (1989) Major - batik (tekstil).
- Ijazah Sarjana Muda [B.A.(Hons)] Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, Seni Halus (1995-1999).

Pengalaman: 
- Mengajar PSV 34 tahun (1980 hingga sekarang).
- Bertugas di lima buah seko­lah menengah di Terengganu, Kelantan dan Pahang.
- Pensyarah PSV & Seni Dalam Pendidikan(SDP) 2001-2014.
- Tenaga pengajar mata pela­jaran Seni Reka Tanda (SRT) KPLI.

Karya garisan dan titik:
- Bermula sejak 2005 mengu­nakan ‘drawing pen’ sebagai media utama.
- Mengetengahkan konsep garisan dan titik serlahan hitam putih.
- Banyak hasilkan potret mengunakan pen untuk individu dan tokoh kenamaan.