Blog ini dalam usaha untuk memartabatkan Tulisan Jawi

'Like [✔]' jika anda rasa blog ini berguna dan bermanfaat.
Sebarang perkongsian dan penambahbaikan adalah amat dialu-alukan.

Wednesday, 5 November 2014

Belajar jawi tiga tahun

Arau: “Sebelum negara menyambut kemerdekaan, kehidupan rakyat ketika itu memang susah, namun kini semuanya sudah berubah dengan perkembangan dan pembangunan pesat,” kata Ong Teoh Joo, 96, seorang warga emas yang petah membaca dan cekap menulis tulisan jawi.

Ong berkata, walaupun terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan disebabkan keadaan ekonomi negara belum berkembang dengan baik, namun kehidupan masyarakat pelbagai kaum ketika itu amat mementingkan aspek perpaduan dan suasana harmoni.

Menurutnya, dia membesar dalam kelompok Melayu, malah satu-satunya orang Tionghua yang memasuki Sekolah Melayu Padang Siding ketika berusia 10 tahun kira-kira 80 tahun lalu.

“Ketika itu saya juga mempelajari tulisan jawi selama tiga tahun, malah sehingga kini masih mampu membaca dan menulis dengan lancar walaupun menghadapi masalah kesihatan,” katanya.

ONG pamer kemahiran menulis tulisan jawi.


Menurutnya, dia terharu apabila mampu menunjukkan kemahiran menulis jawi kepada orang ramai, namun kini sudah jarang berbuat demikian disebabkan penyakit Parkinson yang dihidapinya.

“Sudah lama saya tidak membaca buku tulisan jawi kerana ia semakin sukar didapati dan tidak dapat ke kedai untuk membelinya disebabkan tidak kuat lagi berjalan ke kedai akibat penyakit Parkinson.

“Namun, jika ada yang masih mahu saya menulis tulisan jawi, saya akan mencubanya namun tidak secantik seperti dulu,” katanya yang dilahirkan di Guar Sanji ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pauh Setia, di sini, baru-baru ini.


Artikel Penuh : http://www2.hmetro.com.my/myMetro/articles/Belajarjawitigatahun/Article/index_html

Tuesday, 4 November 2014

Gabenor Bank Negara Malaysia

ڬابنور اداله اورڠ يڠ برتڠڬوڠجواب دالم اوروسن دان حال احول بركاءيتن
.بڠک مڠيكوت داسر يڠ دتتڤكن اوليه لمباݢ ڤڠاره
 سجق دتوبوهكن ڤد 26 جانواري 1959 بڠک نڬارا مليسيا تله دتدبير اوروس اوليه
.توجوه اورڠ ڬابنور
بريكوت اياله ڬابنور-ڬابنور دان تنداتاڠن يڠ دڬوناكن ڤد واڠ كرتس كلوارن بڠک
.نڬارا مليسيا برمولا دڠن تنداتاڠن تون اسماعيل بن محمد علي




بهاڬين بلاكڠ واڠ كرتس كلوارن بڠݢ نڬارا مليسيا مڠڬوناكن توليسن جاوي ڤد ڤركاتاءن 
.'ريڠڬيت مليسيا' دان 'بڠک نڬارا مليسيا'



Jangan polemik isu tulisan jawi



Papan tanda nama sekolah yang menjadi pertikaian



GEORGETOWN - Mana-mana pihak tidak wajar menimbulkan isu atau polemik mengenai tulisan jawi pada papan tanda nama sekolah seperti yang ditimbulkan baru-baru ini.

Setiausaha Kelab Warisan Malaysia (Keris) Pulau Pinang, Mohamad Nor Suhaili Jamali berkata, tulisan jawi tidak memberi makna untuk berdakwah kepada orang bukan Islam kerana ia adalah tulisan yang sedia ada dan digunakan sejak zaman penjajahan British lagi.

Bahkan, penjajah itu juga tidak pernah menghalang orang Melayu menggunakan tulisan jawi sebagai lambang kemunikasi perhubungan.

"Saya berharap lembaga sekolah itu tidak mempolemikkan isu papan tanda ke arah politik dan biarlah ia dilaksanakan dengan baik.

"Mungkin ada muslihat tertentu kerana ia dibangkitkan ketika suasana masih panas berkaitan isu Kalimah ALLAH," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau mengulas surat yang dihantar Sister of the Infant Jesus, Celina Wong kepada pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Bukit Mertajam agar menanggalkan tulisan jawi yang terdapat pada papan tanda yang diletakkan pada pagar sekolah.

Dalam surat itu, Wong memaklumkan bahawa ia bukan amalan di sekolah mubaligh dan tidak dibenarkan sama sekali.

Ia juga memaklumkan bahawa ia bukan sekolah kerajaan tetapi sekolah mubaligh yang menggunakan Bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar serta bukan pengantar jawi.   

Isu ini menjadi panas apabila dipaparkan dalam beberapa blog termasuk salinan surat yang dihantar kepada pengetua sekolah.
Bagaimanapun, Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Datuk Ahmad Tarmizi Kamarudin sebelum ini menjelaskan bahawa pengetua sekolah itu berhak untuk tidak mengikut arahan itu kerana sekolah terbabit di bawah pentadbiran jabatan.

Beliau berkata, jika tidak berpuas hati dengan papan tanda itu, Sister terbabit boleh membuat aduan kepada kementerian pendidikan atau jabatan pendidikan melalui persatuan mubalighnya.

Sementara itu, Pengetua SMK Convent Bukit Mertajam, Che Azizah Ismail dilaporkan berkata bahawa papan tanda itu sudah dipasang sejak 11 tahun dan tidak wajar ditimbulkan sekarang ini.

Menurutnya, papan tanda itu tidak akan diturunkan sebaliknya terus dipertahankan kerana ia hanya membabitkan tulisan nama sekolah.
Mohamad Nor Suhaili berkata tulisan jawi tidak mampu menggugat kepercayaan pelajar bukan Islam di sekolah itu sebaliknya hanya menjadi saluran perhubungan dalam kalangan pelajar Islam.

Beliau berharap lembaga sekolah tidak terus memainkan isu itu ke arah politik sebaliknya membiarkannya berjalan seperti biasa dan bersama-sama menumpukan usaha kementerian bagi membangunkan modal insan berkualiti dalam kalangan pelajar sekolah.

"Sekolah sebagai pusat integrasi perpaduan tidak seharusnya dilibatkan dengan pelbagai fahaman politik atau fahaman yang boleh mengganggu gugat kefahaman rakyat.

"Keputusan Pengarah Pendidikan dilihat langkah tepat dan tegas dalam menyelesaikan isu berkenaan," katanya.