Ketika budaya K-pop popular dan diminati kalangan generasi muda negara ini, seorang ahli akademik Korea Selatan pula mengakui beliau menyukai tulisan jawi. Prof. Dr. Kang Kyoung Seok dari Busan University of Foreign Studies, mempunyai pandangan tersendiri mengenai tulisan jawi dan budaya Melayu.
Dr. Kang, 57, yang fasih berbahasa Melayu, begitu meminati semua perkara mengenai tulisan jawi yang disifatkannya begitu indah. “Budaya Melayu ini, daripada lagunya, bahasanya, semua amat halus dan lembut membuatkan saya jatuh cinta terutama lenggok tulisan jawi,” katanya. Cinta Dr. Kang kepada tulisan jawi berputik pada tahun 1974 ketika belajar di sebuah universiti di Korea Selatan.
“Pensyarah saya masa itu beritahu bahawa Malaysia memiliki tulisan unik diberi nama tulisan jawi. Bila saya tanya apa itu tulisan jawi, pensyarah saya tidak tahu. “Di Korea masa itu tiada buku tulisan jawi, rujukan mengenai jawi pula amat kurang. Namun itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus mengkaji tulisan ini,” katanya.
Pada 1982, pertemuan Dr. Kang dengan seorang pendakwah Islam bernama Abdul Ghani yang berasal dari Pattani, Thailand di Busan, merupakan titik penting percintaannya dengan tulisan jawi. Melalui Abdul Ghani, Dr. Kang mengenali huruf jawi dan sistem penulisan itu. Buku tulisan jawi bertajuk Sejarah Melayu Pattani, menjadi kegemarannya pada masa itu.
Dr. Kang membulatkan tekadnya untuk pergi ke Malaysia bagi mendalami tulisan jawi. Pada tahun 1984 impiannya menjadi kenyataan apabila mendapat tawaran melanjutkan pengajian di Universiti Malaya. Namun persepsi rakyat Korea Selatan terhadap Malaysia pada masa itu menjadi cabaran besar bagi Dr. Kang dalam merealisasikan impiannya. “Masa itu Korea Selatan tidak mengenali Malaysia seperti sekarang. Kita sekarang kawan baik. Dulu orang Korea tengok Malaysia sebuah negara yang mundur, miskin dan banyak masalah.
“Ibu bapa saya masa itu menangis tidak mahu benarkan saya pergi Malaysia. Tetapi saya sudah cintakan tulisan jawi. Saya mahu pergi belajar tulisan itu di Malaysia,” katanya. Setelah melakukan kajian terhadap tulisan jawi sejak sekian lama, Dr. Kang mengakui amat tertarik dengan kitab al-Quran yang disifatkanya sebagai anugerah paling bernilai buat umat Islam di seluruh dunia.
“Paling menarik perhatian saya bagaimana tulisan jawi dalam kitab al-Quran mampu menghasilkan cara bacaan yang amat indah sekali. Saya selalu dengar orang baca di tilawah al-Quran, amat indah dan buat jiwa saya tenteram,” katanya. Dr. Kang berkata generasi muda Malaysia sekarang tidak menyedari betapa bertuahnya mereka memiliki sebuah warisan unik yang menjadi identiti dan penyambung legasi bangsa.
“Tulisan jawi sekarang sudah tenat. Tidak ramai generasi muda tahu membaca dan menulis jawi. Bilangan pakar jawi juga semakin berkurangan kerana ramai pakar yang saya kenali telah bersara tanpa ada pengganti,” katanya. Dr. Kang menyertai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai pensyarah pada 2010.
“UPSI sebuah universiti yang mendidik guru. Jadi bila saya ajar guru ini tulisan jawi, mereka akan ajar tulisan jawi ini kepada anak murid mereka, yang juga generasi muda negara ini. Maka semakin ramai tahu tulisan jawi,” katanya. Beliau berkata pelbagai langkah perlu diambil oleh pihak berkuasa pendidikan supaya kembali kepada sistem ejaan jawi Za’ba yang lebih ringkas dan mudah difahami. Media memainkan peranan penting dalam memastikan tulisan jawi digunakan secara lebih meluas.
Dr. Kang berharap akhbar yang menggunakan bahasa jawi seperti Utusan Melayu diberi nafas baru untuk menarik minat rakyat Malaysia. Selain itu, pihak terlibat seperti Institut Terjemahan Negara Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka perlu memainkan peranan dalam menterjemah lebih banyak buku ke tulisan jawi. – BERNAMA
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp y=2012&dt=0207&sec=Keluarga&pg=ke_01.htm#ixzz2q6qJ20zT
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment