Blog ini dalam usaha untuk memartabatkan Tulisan Jawi

'Like [✔]' jika anda rasa blog ini berguna dan bermanfaat.
Sebarang perkongsian dan penambahbaikan adalah amat dialu-alukan.

Sunday 25 January 2015

Wajibkan Pembelajaran Jawi di Sekolah

KUALA LUMPUR 17 Jan. - Tulisan jawi perlu dijadikan satu mata pelajaran wajib di peringkat sekolah sebagai usaha memartabatkan kembali khazanah kebudayaan nasional itu.

Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, ia perlu dikuasai bukan sahaja oleh orang Melayu malah kaum lain kerana tulisan tersebut memiliki 1,001 keistimewaan dan kelebihan.

Menurut beliau, jika tidak dijadikan satu mata pelajaran khusus, tulisan jawi harus diajar atau dimasukkan ketika pembelajaran Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu.

"Pengajaran bahasa atau sastera Melayu boleh dikatakan tidak lengkap jika tidak dimasukkan komponen tulisan jawi. Suatu ketika dahulu, skrip tulisan bahasa Melayu menggunakan jawi tetapi kini rumi dilihat lebih menguasai," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas saranan Sultan Perak, Sultan Dr. Nazrin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbudin Shah agar tulisan jawi terus dipertahankan supaya terus hidup dan tidak pupus kerana ia merupakan satu perjuangan bangsa.

Kok Seong berkata, tulisan jawi merupakan khazanah negara yang harus dipertahankan dan ia tidak sepatutnya ditakuti oleh golongan bukan Melayu.

"Apabila dikata tulisan jawi perlu dipelajari oleh orang Cina, mereka menentang dan anggap jawi adalah Islam. Mereka takut akan wujudnya usaha untuk menjadikan mereka Islam dengan jawi.

"Ini semua mengarut. Sedangkan, jawi hanyalah tulisan yang satu ketika menjadi pelengkap kepada bahasa Melayu," tegasnya.

Pendapat beliau turut disokong Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Adi Yasran Abdul Aziz.

Menurutnya, secara rasional, tulisan jawi perlu diajar bersama mata pelajaran bahasa Melayu.

"Pada masa ini, tulisan jawi diajar bersama mata pelajaran Agama Islam. Oleh sebab itu, ramai bukan Melayu salah sangka dan memandang serong terhadap tulisan jawi," jelasnya.

Beliau kemudian mengambil contoh UPM mewajibkan penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Bahasa dan Linguistik Melayu) mendaftar mengikuti kursus Sistem Tulisan Jawi.

"Selain itu, jika hendak martabatkan tulisan jawi, semua pihak khususnya kerajaan perlu membudayakan tulisan jawi terutama mewajibkan penggunaannya di papan-papan tanda iklan. Dengan itu, orang ramai merasakan ada gunanya kita belajar jawi," jelasnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar berkata, usaha yang dilakukan Kumpulan Utusan dengan menerbitkan Utusan Melayu Mingguan harus dipuji tetapi ia masih belum mencukupi untuk memartabatkan tulisan jawi.

"Justeru itu, Kementerian Pelajaran perlu wujudkan mata pelajaran tulisan jawi. Mulakan di peringkat sekolah rendah. Inilah caranya untuk kita kembalikan kegemilangan tulisan jawi. Janganlah kita sibuk mengejar kemodenan sehingga lupakan warisan bangsa," tambahnya.



Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_08.htm

No comments:

Post a Comment